Hoki Piala Asia: Malaysia Terlepas Tempat Ke-3, Tewas Tipis Kepada Oman

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Skuad hoki 5s lelaki Malaysia terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat selepas tewas tipis 5-4 kepada tuan rumah, Oman dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Hoki 5s Piala Asia 2023.

Selepas layak secara merit ke Piala Dunia Hoki 5s Lelaki 2024, fokus anak-anak buah Wallace Tan ialah meraih tempat ketiga Kejohanan Hoki 5s Piala Asia 2023. Begitupun, Oman menjanjikan tentangan sengit bersesuaian dengan status sebagai tuan rumah.

Aiman Madit membuka tirai jaringan buat Oman pada minit keenam. Kelebihan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Speedy Tigers menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin seminit selepas itu.

Khalid Al Shaaibi dan Madit kembali meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi gol masing-masing pada minit ke-11 dan ke-19. Muhammad Muhibuddin Moharam memastikan kedudukan Malaysia tidak ditinggalkan terlalu jauh dengan gol pada minit ke-11.

Selepas rehat, Kamarulzaman menyamakan kedudukan 3-3 menerusi gol pada minit ke-22. Malaysia dan Oman kemudiannya saling berbalas gol menerusi Al Shaaibi dan Akhimullah Anuar Esok masing-masing pada minit ke-24 dan 26.

Bagaimanapun, Oman meraih gol kemenangan menerusi Rashad Al Fazari pada minit ke-29. Keputusan 5-4 kekal sehingga tamat perlawanan.

Biarpun tewas, ini masih satu pencapaian yang baik buat skuad negara. Segala kelemahan yang dikesan diharap dapat diperbaiki sebelum Piala Dunia Hoki 5s Lelaki 2024 yang berlangsung pada tahun hadapan.