Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Skuad hoki Malaysia mempamerkan persembahan membanggakan semalam walaupun tewas kepada Sepanyol dalam pusingan cross-over Piala Dunia Hoki 2023.
Ini kerana menurut jurulatih pasukan kebangsaan, Arul Selvaraj, ini menunjukkan Speedy Tigers mampu bersaing dengan pasukan-pasukan hoki terbaik dunia. Tetapi untuk mencapai tahap sama seperti Australia dan Jerman, mereka perlu mendapat pendedahan berkualiti tinggi.
“Saya bangga dengan anak-anak buah saya. Cara mereka bermain menunjukkan kemahuan dan keazaman sehingga ke akhirnya. Sebagai jurulatih, saya tak boleh minta lebih daripada itu.
“Tetapi Sepanyol, seperti kita tahu, tahap pendedahan yang mereka terima selama bertahun-tahun dengan Liga Pro (FIH) dan penampilan dalam Sukan Olimpik berturut-turut, jadi dari segi kemajuan, kita di belakang mereka.
“Dan bagi para pemain yang beraksi bermati-matian menentang lawan seperti Sepanyol, ia memang hebat. Saya fikir ini bukti bahawa jika pasukan Malaysia diberi lebih banyak pendedahan kepada perlawanan menentang Belgium dan Australia, mereka boleh menjadi lebih bagus,” kata Arul dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.
Malaysia bakal beraksi untuk penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 Piala Dunia Hoki 2023. Lawan pertama mereka untuk fasa ini ialah Afrika Selatan dengan perlawanan bakal berlangsung pada 25 Januari.