Hidayu: Tiada Yang Boleh Menghentikan Cinta Saya Kepada Silat

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Nurhidayu Abd Rahman bertekad untuk memberikan komitmen terbaik dalam membantu mengharumkan negara di pentas dunia melalui acara silat. Anak muda kelahiran Pantai Remis, Perak ini memasang azam untuk menyertai acara seni mempertahankan diri kategori paralimpik pada masa akan datang.

Dalam satu temu bualnya bersama Harian Metro, Hidayu menyatakan bahawa kekurangan diri tidak menghalang seseorang untuk mencuba dan terus berimpian.

“Saya tahu tidak mudah bagi orang kelainan upaya (OKU) belajar silat, tetapi sekurang-kurangnya saya mencuba,”

Atlet muda yang berusia 23 tahun ini menjelaskan beliau meminati seni mempertahankan diri ini sejak dari bangku sekolah. Walaupun tangan kanannya kudung sejak lahir, minatnnya terhadap silat tidak mematahkan hasratnya untuk berusaha dan mengambil peluang menyertai persatuan seni mempertahankan diri.

“Masa pendaftaran persatuan ketika di semester satu USM, kawan saya mengajak untuk sertai persatuan seni silat cekak. Selepas aktif memberi komitmen dalam persatuan tersebut, saya rasa selesa dan minat untuk kekal dalam persatuan silat ini”.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera (Geografi) Universiti Sains Malaysia (USM) ini turut teruja dengan bimbingan rakan-rakan lain dan jurulatih yang banyak membantu ketika sesi latihan dijalankan. Ia sekaligus dapat menambah keyakinan dalam dirinya selama tiga tahun proses pembelajaran dan latihan.

Hidayu kini berazam untuk menyertai pertandingan atau acara seni mempertahankan diri kategori paralimpik suatu hari nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *