Hendrawan: Kita Jangan Lawan Keputusan Lee Zii Jia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Walaupun tewas mengejut kepada pemain Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023, perseorangan utama negara Lee Zii Jia masih bertegas keputusan beraksi tanpa jurulatih satu keputusan yang tepat. Bagi jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, keputusan pemain itu perlu dihormati oleh semua pihak.

Ini kerana bekas anak didiknya itu sudah menetapkan pendiriannya. Dan bagi jurulatih berusia 50 tahun itu, ia juga merupakan satu proses pembelajaran buat peman nombor dua dunia itu.

Zii Jia yang keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun lepas memilih untuk tidak menggunakan khidmat jurulatih Indonesia, Indra Wijaya pada November lepas. Ketika ini, Liew Daren membantunya bila dia beraksi di atas gelanggang.

“Saya rasa dia sudah memikirkannya dan kita tak payah melawan (keputusannya). Apa yang dia perlu buat, dia akan buat dan ia ada kelebihan dan kekurangan, namun dia akan belajar dari situ.

“Dia ada keberanian untuk berani ambil keputusan, selain ini satu proses untuk Zii Jia juga. Saya percaya dia akan lebih matang,” katanya kepada media selepas Terbuka Malaysia 2023 semalam.

Sebelum ini, ramai yang mengkritik keputusan Zii Jia turun bertanding tanpa kelibat jurulatih. Tetapi bagi Hendrawan, keputusan bekas anak didiknya itu tidak patut disensasikan kerana beliau percaya dia sudah ada perancangan untuk musim 2023.

“Sejak dari muda saya melihat, dia seorang pemain yang tahu apa perlu dibuat. Bagaimanapun, perkara ini ada baik dan buruknya. Baik sebab dia kekal dengan pendirian, kerana setengah orang akan fikir dulu baik-baik. Dia ada keberanian dan hasilnya, dia berani ambil risiko,” tambahnya.