Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pelumba basikal profesional negara, Mohd Harrif Saleh dilihat bakal tampil dengan lebih aktif pada tahun hadapan dengan keadaan sektor sukan telah mula beroperasi bakal memberi laluan kepadanya menyertai beberpa kejohanan dunia.
Hal ini disebabkan wabak COVID-19 telah menjejaskan segala aktiviti sukan termasuklah penganjuran kejohanan yang menyebabkan sukan berbasikal sepi seketika.
Selain itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 33 tahun itu hanya mampu menyertai tiga kejohanan di luar negara tahun ini selain dua kejohanan pada 2020.
Ini juga telah menyebabkan perlumbaan terulung negara ini Le Tour de Langkawi terpaksa dibatalkan.
“Saya harap tahun depan saya dapat banyak peluang untuk bertanding sama ada di dalam mahupun luar negara. Harapnya dengan lebih ramai sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin, kita boleh menyaksikan semula kehangatan perlumbaan terulung di negara ini LTdL,” -Jelasnya kepada Arena Metro.
Selain itu, beliau juga telah menyambung kontrak setahun bersama pasukan dari Terengganu itu awal minggu ini.
Beliau juga telah berjaya menempa sejarah yang amat dikagumi apabila muncul pelumba pertama negara memenangi perlumbaan sehari pada kejohanan diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Eropah dengan mengungguli Grand Prix Velo Manavgat di Turki.
Kebolehan dan kemampuan beliau sememangnya tidak boleh diragui kerana sentiasa memberikan yang terbaik dalam semua kejohanan yang disertainya.
“Saya amat berharap keadaan semakin baik tahun depan jadi kami tidak hanya berlatih setiap hari tetapi dapat juga menyertai perlumbaan kerana sebagai pelumba profesional, menjadi tugas kami meraih kejayaan buat pasukan selain menimba lebih banyak pengalaman.
“Dengan pembukaan lebih banyak sektor di negara ini dan kebenaran merentas negeri, saya yakin LTdL boleh kembali dianjurkan selepas tidak diadakan tahun ini kerana kebimbangan terhadap Covid-19.”
Beliau pastinya ingin terus mencipta nama dalam pentas berbasikal sambil memanfaatkan kudratnya untuk terus melakar sejarah dalam setiap kejohanan yang disertainya.