Hans Isaac Dilantik Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Bersesuaian dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merakyatkan kemudahan milik Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), 16 ahli baru Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah dipilih untuk tempoh 2023/2025. KBS turut mengumumkan Datuk Hans Isaac sebagai pengerusi baru PSM.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pemilihan 16 ahli ini dibuat bagi memastikan perbadanan itu jauh lebih mampan dari segi pengurusan fasiliti. Selain itu, KBS juga mahu PSM menjadi lebih efisien dan profesional kepada semua serta mengamal urus tadbir korporat yang baik.

“Perkara itu turut melibatkan usaha bagi merakyatkan fasiliti PSM untuk kegunaan orang awam dalam mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

16 figura ini dilantik mewakili bidang sukan, korporat dan kerajaan. Antara figura lain yang dilantik ialah Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Joehari Mohd Ayub dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali.

16 figura ini termasuk Hans dijangka akan membantu barisan pengurusan kanan PSM diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Faidz Sanusi. Ini bagi membantu PSM merealisasikan agenda merakyatkan fasiliti ini sebagai satu kenyataan.