Hannah Yeoh Umum Skuad Segar Buru Emas Di Olimpik

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Bagi merealisasikan impian meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan pembentukan pasukan Road to Gold (RTG). Pembentukan pasukan ini dilihat langkah terbaik bagi membantu atlet-atlet yang mempunyai potensi terbaik memenangi pingat emas di temasya sukan berprestij itu.

Pembentukan pasukan ini bukan setakat meliputi Sukan Olimpik 2024 yang bakal diadakan di Paris, Perancis. Malah, ia juga bakal meliputi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Disebabkan perubahan ini, nama Jawatankuasa Gold Paris juga turut ditukar kepada Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri,” katanya dalam sidang media pengumuman pasukan tersebut.

Jawatankuasa ini bakal dipengerusikan secara bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. Sementara Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai ketua kontinjen negara ke Paris.

Ahli jawatankuasa terdiri daripada Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Mohd Ramli.

Melengkapkan senarai ialah Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, legenda skuasy Datuk Nicol Ann David, legenda badminton Datuk Lee Chong Wei dan bekas kapten hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi.

Nicol juga turut dilantik sebagai timbalan ketua kontinjen Olimpik negara ke Paris pada tahun hadapan. Sementara CEO Malaysian Football League (MFL) Stuart Ramalingam dilantik sebagai penyelaras projek dan dibantu oleh CEO Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai.

Antara fokus jawatankuasa ialah menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat. Ia juga dijangka memperkasa Program Podium yang diketuai MSN dan ISN.