Hannah Yeoh Tawarkan Rumput Zeon Zoysia Kepada Semua Stadium Negeri

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan rumput jenis Zeon Zoysia kepada stadium-stadium yang terpilih di setiap negeri. Tawaran ini didedahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Tawaran ini dibuat kepada semua exco belia dan sukan negeri semasa mesyuarat pertama KBS bersama mereka pada Januari lepas. Kini, KBS sedang menunggu maklum balas semua exco dalam mesyuarat seterusnya sebelum mengumumkan langkah seterusnya.

“Saya ada memberikan cadangan penawaran geran padanan dan menawarkan untuk memilih satu stadium bola sepak yang mereka mahu naik taraf padang dengan rumput Zeon Zoysia.”

“Naik taraf padang dilakukan oleh KBS dengan pemberian kos penanaman rumput tetapi penyelenggaraan padang setiap bulan perlulah ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas meninjau sesi latihan terakhir skuad Malayan Tigress B-20 semalam.

Setiap negeri perlu memilih stadium di mana rumput jenis Zeon Zoysia bakal digunakan. Selain itu, ia perlu menjalani penyelenggaraan awal sebelum peruntukan tersebut diluluskan oleh KBS.

Hannah turut mengingatkan, menjadi tanggungjawab setiap kerajaan negeri bagi memastikan padang tersebut diselenggara dengan baik sekiranya mereka menerima tawaran peruntukan KBS itu.

“Selepas semuanya selesai barulah proses penanaman rumput akan dilakukan dan mereka perlu menjaganya pula. Bukan semua negeri mampu dan bukan semua negeri nak rumput ini (Zeon Zoysia),” tambahnya.

Ketika ini, satu-satunya stadium yang menggunakan rumput Zeon Zoysia ialah Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Sejak itu, beberapa lagi stadium sedang sibuk menaiktaraf permukaan padang masing-masing menggunakan jenis rumput yang sama.