Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
11 hari lepas, kecoh laman media sosial berkenaan insiden seorang jurulatih bola tampar menampar dua pemain remaja. Dan pada hari ini, selepas siasatan selesai dijalankan, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengesahkan lesen jurulatih dari negeri Melaka itu telah dibatalkan.
Keputusan tersebut turut dibuat selepas siasatan dimuktamadkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA). Kedua-dua badan sebulat suara bersetuju jurulatih bola tampar Melaka, Saiful Hadee Amar,44, hilang kelayakan sebagai jurulatih termasuk di peringkat sekolah.
Tambah Hannah lagi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) turut senada selepas Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sebelum ini membatalkan lesen jurulatih itu melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya.
“Justeru sebagai langkah awal, jurulatih sukan tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk menjadi jurulatih untuk murid sekolah.
“Sesungguhnya, insiden ini telah membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah untuk menjadi sebahagian daripada Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK),” katanya dalam sidang media bersama dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini.
Bagi merealisasikan usaha tersebut, KPM akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi melengkapkan jurulatih pelajar sekolah dengan pensijilan yang diperlukan.
Amat penting untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat, saling hormat-menghormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan dan penderaan.
KBS turut mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan ISN memastikan perlaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan yang diperolehi oleh mereka sebagai pengiktirafan SPKK setiap dua tahun sekali.
“Proses itu diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih-jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka itu.
“Penguatkuasaan peraturan tersebut juga membolehkan pihak AKK dan pemegang taruh yang lain mengemas kini data selain turut dapat membantu jurulatih-jurulatih meningkatkan lagi kemahiran mereka melalui upskilling dan reskilling dengan pendekatan kejurulatihan dan teknologi terkini,” ujar Hannah.
Beliau turut mengingatkan KBS dan KPM tidak akan berkompromi khususnya berkaitan isu sebegini. Ini kerana kekasaran sebegini akan memudaratkan pembangunan bakat masa depan negara lebih-lebih lagi membabitkan pelajar sekolah.