Hannah Yeoh ‘Perkuat’ Skuad Malayan Tigress Sebelum Ke Kemboja

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Dengan skuad Malayan Tigress Bawah 20 Tahun (B-20) yang bakal beraksi di Pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 sudah dimuktamadkan, anak-anak buah Cameron Ng mendapat suntikan semangat hari ini. Ini selepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meninjau sesi latihan mereka petang tadi.

Selain meninjau latihan Malayan Tigress B-20, Ahli Parlimen Segambut itu turut mencuba nasib menjalani latihan menjaringkan gol. Bagaimanapun, percubaannya sama sekali tersasar sekaligus mengundang ketawa lucu barisan pemain yang melihat.

Yang pasti, Hannah memberi semangat kepada para pemain untuk melakukan yang terbaik semasa berada di Kemboja nanti. Malayan Tigress B-20 bakal bertolak ke Kemboja esok sebelum turun dalam perlawanan pertama Kumpulan G menentang tuan rumah Kemboja pada 10 Mac.

Selain Malaysia dan Kemboja, Pakistan dan Myanmar juga menjadi sebahagian daripada Kumpulan G. Bagaimanapun, Pakistan tidak mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan sekaligus perlawanan terakhir Kumpulan G Malaysia ialah menentang Myanmar pada 12 Mac.