Hannah Yeoh Mahu Bantu Lee Zii Jia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kemerosotan prestasi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia membimbangkan ramai figura sukan badminton negara. Lantas, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersedia membantu Zii Jia mengatasi kemerosotannya dan layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Prestasi Zii Jia sememangnya terumbang-ambing sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Terbaru, pemain perseorangan profesional Malaysia itu terkandas di pusingan kedua Terbuka Jerman 2023 selepas tewas kepada pemain Taiwan, Lee Chia-hao.

Susulan itu, Zii Jia menulis satu hantaran berbaur kesat di Instagram yang berbunyi, “Saya sudah gagal.” Walaupun kurang selesa dengan hantaran tersebut, Hannah bersimpati dengan pemain nombor empat dunia itu dan bersedia membantunya bangkit.

“Saya sudah hubungi dia (Zii Jia) selepas perlawanan itu (pusingan kedua Terbuka Jerman) dan beritahu untuk berjumpa dengannya sebaik pulang ke tanah air bagi berbincang bagaimana kita boleh bantu dia meningkatkan prestasi.

“Pada perjumpaan sebelum ini, kami ada berbincang mengenai bantuan-bantuan yang boleh diberikan kepadanya. Saya akan sentuh perkara ini dalam sidang media esok (pengumuman penubuhan Jawatankuasa Road to Gold),” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi AFA hari ini.

Pada masa sama, Hannah tidak menyalahkan Zii Jia kerana memuatnaik status tersebut. Baginya, itu mendedahkan tekanan mental yang dialami bekas juara Seluruh England 2019 itu.

“Dia tidak ada beritahu apa-apa (berhubung status). Bagi saya, dia adalah pemain profesional, bukannya budak kecil dan kita harus beri ruang kepadanya terlebih dahulu.

“Saya pernah cakap atlet adalah sumber inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia dan mereka ada turun naik. Saya hanya mahu berikan sokongan kepada atlet kita, mungkin dari segi latihan media sosial serta kekuatan mental,” tambahnya.