Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas isu konsert artis terkenal Jay Chou diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semasa kempen Piala AFF Malaysia beberapa minggu lepas, ada yang membangkitkan soal stadium baru. Tetapi bagi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, itu tiada dalam perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Ini kerana ia boleh saja menjadi isu di kemudian hari lebih-lebih lagi jika stadium baru yang dibina tidak diselenggara dengan baik. Di sebalik pertindihan acara seperti yang berlaku di SNBJ sebelumnya, itu bukan alasan untuk membina stadium sukan baru.
Justeru, bagi KBS, lebih baik untuk kemudahan stadium sedia ada dimanfaatkan dan terus ditambahbaik bagi membolehkan ia sesuai menjadi lokasi penganjuran sebarang temasya atau pertandingan sukan.
“Kita lihat bukan sahaja stadium utama tapi kami nak pastikan tanggungjawab kerajaan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersama-sama membina sukan.
“Keutamaan kami bukan asyik membina, tapi kami nak tahu bagaimana untuk uruskan naik taraf dan seliaannya.
“Pada masa sama, kami tiada rancangan untuk asyik bina stadium. Kalau tengok di negeri lain, asyik bina stadium ketika Sukma (Sukan Malaysia) tapi penyeliaannya agak sukar.
“Jadi kami tiada perancangan untuk terus membina (stadium) dan lebih baik gunakan venue sedia ada,” katanya.