Hannah Yeoh Akui Semua Idea TMJ

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui menerima idea yang dikemukakan oleh DYAM Tunku Ismail (TMJ) telah digunakannya untul menaik taraf stadium di setiap negeri dengan menggantikan rumput yang berkualiti tinggi.

Baru-baru ini, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan kualiti padang dengan menawarkan perbadanan stadium setiap negeri lesen untuk menukar rumput.

Usaha ini sebagai salah satu perkara yang dititikberatkan supaya saingan liga Malaysia yang bakal berlangsung lebih praktikal dan berdaya saing.

Menerusi satu hantaran Hannah Yeoh dalam akaun Instagramnya menjelaskan bahawa semua idea tersebut diusulkan oleh TMJ.

“Betul ini semua cadangan daripada DYMM Tuanku supaya lebih banyak padang di stadium negeri menggunakan rumput yang berkualiti,” Tulis Hannah Yeoh.

Hannah Yeoh baru-baru ini juga telah memaklumkan perkara ini ketika ditemui di Wisma FAM bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk menanam rumput baharu jenis Zeon Zoysia seperti di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlaksanaan tersebut dijangka bakal berlangsung pada pertengahan atau penghujung tahun ini bagi menukarkan rumput jenis Cowgrass ke Zeon Zoysia pada setiap stadium negeri apabila pihak KBS selesai berurusan bersama exco semua negeri.

Pihak KBS akan menaja kos penukaran rumput setelah mendapat persetujuan bersama oleh exco setiap negeri, manakala kos penyenggaraan perlu ditanggung oleh negeri masing-masing.

Di Malaysia ketika ini hanya terdapat dua stadium negeri yamg menggunakan rumput berkualiti, iaitu Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Sultan Zainal Abidin masing-masing menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dan jenis Bermuda Princess 77.