Hadiah Berganda Pengantin Baharu, Azroy Hakeem Juara Cub Prix 150

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pelumba motosikal Honda Yuzi, Azroy Hakeem Anuar hari ini telah dinobatkan sebagai juara Cub Prix 150. Saingan yang sengit dipamerkan pelumba-pelumba dalam kategori ini sedikit sebanyak telah mewarnai aksi perlumbaan petang tadi.

Setelah kejohanan ini tertangguh sejak Mei lalu, pengantin baru ini berjaya mempersembahkan aksi memukau sebelum dinobatkan sebagai juara.

Md Izzat Zaidi wakil daripada pasukan YY Pang Racing cemerlang menduduki tempat kedua manakala pelumba Petronas Sprinta Yamaha, Kasma Daniel berjaya menduduki tempat ketiga.

Juara Cub Prix 150, Azroy Hakeem amat teruja dan bersyukur dengan pencapaian hari ini. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu dan menyokong dirinya dalam saingan kali ini.

“Saya bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya kerana telah menyediakan jentera yang sangat baik. Tidak terlupa, isteri dan ahli keluarga saya yang tidak berhenti memberikan sokongan.”

Menurut Azroy, permukaan jalan yang basah hari ini juga membantu dirinya untuk kekal konsisten beraksi dalam setiap pusingan. Beliau merasakan lebih yakin untuk beraksi dalam cuaca seperti ini.

“Saya jangkakan cuaca hari ini hujan dan ia membantu saya kerana saya sudah bersedia untuk hadapi trek basah sejak tahun lepas. Hari ini saya dapat beraksi di atas trek yang basah dan cuaca seperti ini membantu saya menjadi juara”.

Sementara itu, naib juara acara Cub Prix 150, Md Izzat turut bersyukur dengan pencapainnya hari ini kerana berjaya menaiki podium walaupun perlumbaan hari ini agak mencabar dan sukar buat dirinya.

“Agak sukar pada perlumbaan kali ini kerana hujan. Saya tidak menyangka saya boleh akhiri perlumbaan di tempat kedua. Saya hanya mengekori rapat Azroy, akan tetapi Azroy lebih pantas dan konsisten mengawal jentera.

Pelumba-pelumba ini sekali lagi akan turun beraksi pada esok hari bagi meneruskan cabaran saingan Cub Prix 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *