Gol Debut Haqimi Azim Petanda Bakal Gegar Skuad Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Penyerang muda KL City FC, Haqimi Azim Rosli cemerlang menampilkan persembahan memukau dalam kempen Piala AFF 2022 pada semalam. Pemain berusia 19 tahun itu berjaya membantu Malaysia membenam Laos dengan keputusan 5-0.

Haqimi tidak berdepan laluan sukar walau diturunkan pada babak kedua perlawanan. Beliau yang masuk menggantikan Faisal Halim membalas kepercayaan Kim Pan-gon dengan menampilkan aksi memukau.

Aksi debutnya bersama Harimau Malaya pada semalam cukup gemilang apabila beliau berjaya mencatat nama sebagai penjaring. Gol keempat Malaysia terhasil menerusi rembatan kencang Haqimi pada minit ke-77 permainan.

Beliau ketika ditemubual UltraSukan menjelaskan bahawa dirinya seakan tidak percaya dengan jaringan yang terhasil. Beraksi bersama skuad kebangsaan merupakan impiannya sejak kecil lagi.

“Saya tak percaya boleh jaringkan gol untuk perlawanan hari ini. Memang dari dulu idamkan untuk bersama skuad kebangsaan, dan harini impian saya tercapai.”

“Terima kasih jurulatih Kim Pan-gon percaya pada saya dan beri peluang untuk beraksi. Untuk aksi mendatang, saya akan beri yang terbaik, demi Malaysia dan tanah air tercinta,” ujar Haqimi Azim.

Malaysia bakal meneruskan cabaran Piala AFF bertemu Vietnam pada Selasa di Stadium Hanoi jam 8.30 malam.