Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bekas pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei telah membuat satu kejutan selepas mengumumkan untuk keluar dari persaraan dan kembali membantu negara menjelang kejohanan Piala Asia dan juga Piala Thomas akan datang.
Menerusi satu kenyataan, Jin Wei difahamkan telah pun menyatakan hasrat untuk bersara sekitar bulan 8 tahun lalu selepas mengadakan satu sesi bersama BAM sebelum satu kenyataan rasmi oleh Jin Wei menjelaskan bahawa beliau mahu menggantung raket.
Namun begitu, selepas beberapa bulan kemudian, beliau seakan mula menunjukkan minat untuk kembali semula beraksi namun tidak dapat dipastikan sama ada secara persendirian atau tidak. Akan tetapi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu pemain muda berbakat itu kembali ke pangkuan mereka setelah wakil perseorangan negara kelihatan tidak mampu beraksi seperti yang diharapkan.
Pemain berusia 21 tahun ini turut difahamkan bakal memulakan aksinya seawal Januari ini dengan beraksi sebagai pemain beregu campuran dalam satu pertandingan namun terdapat beberapa kekangan yang menggagalkan hasrat ini.
Mengulas lanjut, Jin Wei berkata, beliau sentiasa bersedia untuk mengerah kudrat jika khidmatnya diperlukan dalam mana-mana acara yang bakal disertai.
’Saya rasa semua mahu main untuk Malaysia juga. Saya tidak kisah sama ada Piala Asia, Piala Thomas atau Piala Uber mahupun Piala Sudirman, jika mereka mahukan khidmat saya, sudah pasti saya sedia beraksi.’
’Kita semua bermain untuk Malaysia,’-Jelasnya dalam satu temubual oleh Astro Arena.