Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bekas ratu penerjun negara, Leong Mun Yee dan atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly telah dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk pada sesi istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 hari ini.
Perkara itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu di laman Twitter miliknya hari ini. Faizal dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan dan ucapan syabas serta tahniah kepada kedua atlet itu atas gelaran tersebut.
Pada sesi istiadat hari ini, atlet pecut negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi turut menerima pingat Johon Mahkota Wilayah (J.M.W). Sementara atlet badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mendapat penganugerahan apabila mereka dikurniakan pingat Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W).
Rekod terbaik yang pernah dicapai Leong Mun Yee adalah beraksi sebanyak lima kali dalam temasya Olimpik dan menggondol 17 pingat emas di kejohanan Sukan Sea.
Sementara Abdul Latif Romly, pemegang rekod dunia T20 bagi acara lompat jauh dan emas pada temasya Paralimpik sebanyak dua kali iaitu pada 2016 di Rio dan 2020 di Tokyo.
Pencapaian atlet-atlet negara dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa perlu dihargai dan sentiasa diingati. Gelaran dan penganugerahan yang diberikan merupakan salah satu simbolik apresiasi buat mereka. Syabas buat Mun Yee, Latif Romly, Ridzuan Puzi. Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.