Gelagat Wartawan Hadir Sidang Media Berkain Pelikat Jadi Tumpuan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Semalam, sidang media pra-perlawanan Kumpulan A Piala AFF 2022 membabitkan Myanmar dan Malaysia diadakan di Yangon. Ia dihadiri oleh jurulatih kedua-dua pasukan iaitu Kim Pan-gon (Malaysia) dan Antoine Hey (Myanmar) serta kapten Safawi Rasid. Tetapi yang mencuri tumpuan penyokong negara bukan sidang media tetapi kain pelikat yang dipakai oleh dua wartawan Myanmar.

Wartawan Myanmar memakai Longyi semasa sidang media pra-perlawanan Myanmar menentang Malaysia semalam. Gambar: FA Malaysia

Terdapat dua gambar wartawan Myanmar memakai kain tradisional yang dipanggil Longyi semasa sidang media berlangsung. Salah satu daripadanya menampilkan seorang wartawan Myanmar berpakaian Longyi yang duduk di belakang dua pembantu jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan dan Pau Marti. Sejak itu, ada banyak komen nakal yang ditinggalkan dalam hantaran Facebook FAM berkenaan sidang media semalam.

Jadi, apa itu Longyi? Longyi merupakan sehelai kain berbentuk silinder dan amat mirip dengan kain pelikat/sarung yang digunakan di Malaysia, Indonesia dan Brunei. Tetapi bezanya di Myanmar, Longyi boleh dipakai oleh lelaki dan wanita dengan ia dibezakan menerusi warna dan cara ia diikat.

Disebabkan rekaannya yang mudah, ia boleh saja dilipat dan diikat mengikut keperluan si pemakai walau di mana saja dia berada dari bertani dan meredah air hingga aktiviti sukan. Bagi pemakainya, Longyi bukan saja selesa tetapi lembut dan menarik untuk dipakai. Dan jika ada warga asing yang memakainya, ia dianggap satu penghormatan kepada budaya orang Myanmar.