Gandingan Sze Fei-Izzuddin Bakal Berpisah?

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Entah di mana silapnya, gandingan regu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani seakan merosot selepas muncul juara Terbuka Jerman tahun lepas. Kemerosotan ini mendorong Pengarah Kejurulatihan Regu BAM, Rexy Mainaky untuk mengadakan perbincangan tentang masa depan regu tersebut termasuk kemungkinan memisahkan mereka.

Sejak menjuarai Terbuka Jerman, Sze Fei-Nur Izzuddin seakan terkena badi dalam lapan kejohanan. Kalau tak terkeluar di pusingan pertama, terkeluar di pusingan kedua kejohanan yang disertai.

Terbaru, regu lelaki BAM itu tewas dalam pusingan pertama Terbuka India 2023 kepada regu lelaki China Ren Xiangyu-Tan Qiang dengan keputusan 21-19, 21-17.

Sementara dalam Terbuka Malaysia, Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir di pusingan sama tetapi di tangan lawan berbeza. Mereka tewas kepada satu lagi regu China, Liang Weikeng-Wang Chan.

Regu ini sepatutnya bertanding dalam Indonesia Masters dan dikelaskan sebagai pilihan ketujuh kejohanan. Lawan mereka di pusingan pertama ialah regu China, He Jiting-Zhou Haodong.

Tetapi selepas pendedahan Sze Fei-Nur Izzuddin tidak bertanding semalam, ini menunjukkan tindakan diambil bagi memastikan keyakinan mereka tidak terjejas. Satu lagi kekalahan sudah pasti memberi tamparan moral kepada kedua-duanya.

“Kita akan bercakap dengan mereka bila kita pulang ke Kuala Lumpur. Kita akan lihat sama ada mereka patut dikekalkan sebagai regu atau cuba menggandingkan mereka dengan pemain-pemain muda lain.

“Sze Fei-Izzuddin tidak akan bermain dalam Indonesia Masters (minggu hadapan). Saya akan mengambil masa untuk bercakap dengan mereka dan menimbang semua pilihan,” kata Rexy.