Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Seakan melepas geram selepas berehat pada bulan Ramadhan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah KLFA 12-1 dalam perlawanan Kumpulan B, Liga Premier Futsal Malaysia di Stadium Tertutup Pasir Gudang semalam.
Seawal minit pertama, pemain import Brazil, Garcia Rego membolosi gawang pasukan pelawat. Tiga minit kemudian, Danial Dain pula menggandakan kelebihan JDT menewaskan penjaga gol Azraei Khairul Izham.
Dalam tempoh tiga minit, KLFA dibolosi tiga kali menerusi Awalluddin Mat Nawi (minit ke-12 dan ke-14) dan pemain gantian Ekmal Shahrin (minit ke-16). Ini disusuli tiga lagi gol dalam minit ke-21 menerusi Ekmal, kapten Firdaus Ambiah dan Abu Haniffa Hasan.
Azri Rahman pula memastikan Harimau Selatan terus selesa mendahului menerusi gol pada minit ke-22 dan ke-23. Tetapi jurulatih JDT, Juan Antonio Miguel Garcia pasti kurang gembira selepas gawang JDT dibolosi pada minit ke-30 menerusi Nik Fikri Nik Radzi.
Dengan kedudukan 10-1 semasa rehat, Harimau Selatan terus bernafsu memburu gol. Hasilnya, dalam tempoh dua minit, gawang pelawat dibolosi menerusi Garcia Rego (minit ke-35) dan Kisshaen Ananthan (minit ke-35).
Keputusan ini meletakkan JDT menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan 12 mata selepas lima perlawanan. Dan ia juga merupakan amaran kepada pasukan-pasukan lain bahawa JDT kali ini tampil lebih mantap dalam saingan MPFL.