Futsal: JDT Bantai Shah Alam City Kaw-Kaw

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan kehadiran mereka dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) sebagai pasukan yang digeruni dengan membenam Shah Alam City 8-2 semalam. Menariknya, dua pemain JDT turut merekodkan hatrik iaitu Abu Haniffa Hassan dan Azri Rahman.

Barisan anak-anak buah Juan Antonio Miguel Garcia itu dibarisi oleh sebahagian besar pemain kebangsaan. Justeru, sebaik sepak mula, JDT berusaha mendominasi perlawanan.

Abu Haniffa meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ketiga menewaskan penjaga gol Shah Alam City, Mohamad Aizat Borhanudin. Bagaimanapun, pihak lawan menyamakan kedudukan menerusi Wellington Perreira pada minit ke-11.

JDT kemudiannya mendahului menerusi Azri Rahman. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat. Tetapi sebaik separuh masa kedua bermula, pihak lawan kembali mengikat kedudukan menerusi Aliff Roslan.

JDT kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti selepas Rushdi Hussain menampan percubaan Abu Haniffa menggunakan tangan. Pemain kebangsaan itu mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-23 bagi meletakkan Harimau Selatan di hadapan.

Dari situ, tiga lagi gol dijaringkan menerusi Azri Rahman (minit ke-33 dan 36) dan Abu Haniffa (minit ke-35). Shah Alam City terus malang apabila Zainal Abidin Hamzah menjaringkan gol sendiri dua minit selepas itu.

Danial Dain menjaringkan gol kelapan untuk Harimau Selatan sekaligus melengkapkan malam cemerlang mereka. Keputusan ini meletakkan JDT di tempat kedua Kumpulan B MPFL di belakang pendahulu Selangor MAC.