Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
JDT terus membuktikan kehadiran mereka dalam Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) musim 2023 sebagai pencabar tidak sepatutnya dipandang remeh. Ini selepas anak-anak buah Juan Antonio Miguel Garcia berjaya mengikat Pahang Rangers dalam aksi persahabatan hari ini.
Pada awalnya, Harimau Selatan seakan tidak mampu mengejar Pahang Rangers walaupun dibarisi ramai pemain kebangsaan. Akibatnya, JDT dibolosi empat kali pada separuh masa pertama.
Ini mendorong Juanito membuat beberapa pertukaran bagi memperkemas rentak pasukan. Hasilnya, JDT berjaya menjaringkan empat gol sekaligus menyamakan kedudukan kepada 4-4.
Pahang Rangers menyangka mereka telah menjaringkan gol kemenangan menerusi pemain import Matheus Gonzalez. Tetapi semangat tidak putus asa JDT membuahkan hasil menerusi gol kelima pada minit akhir permainan.
Walaupun ini hanyalah aksi pra-musim, ini menunjukkan kedua-dua pasukan bukan saja sama kuat. Malah, ia turut menunjukkan kesungguhan Pahang Rangers dan JDT untuk cemerlang dalam saingan MPFL musim ini.