Fusal: JDT Bakal Dibarisi Pemain Berkelas Dunia?

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Semalam, pasukan JDT yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia menewaskan Penang FA 3-1 dalam satu aksi persahabatan sebagai persiapan menghadapi MPFL 2023. Tetapi tidak ramai sedar, JDT turut menyelitkan seorang pemain import dalam kesebelasan utama mereka.

Pemain yang dimaksudkan ialah Caio Cesar Garcia Rego dari Brazil. Dikhabarkan pemain berusia 33 tahun ini sudah seminggu berlatih bersama Harimau Selatan dan turut menyumbang satu gol dalam perlawanan semalam.

Buat masa ini, JDT belum membuat sebarang pengumuman tentang Caio sebagai pemain import baru mereka. Tetapi pemain ini dilihat mempunyai pengalaman luas termasuk beraksi dengan kelab luar dan pasukan futsal Brazil.

Caio pernah menjulang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Gazprom-Ugra (Rusia). Sementara kelab terakhirnya, AFC Kairat pula merupakan pasukan futsal gergasi di Kazakhstan.

Semasa mewakili pasukan futsal Selecao, dia pernah membantu Brazil memenangi Sukan Universiti Dunia pada 2016. Dengan semua pencapaian ini, tidak hairanlah mengapa Miguel Garcia mahukannya menjadi sebahagian daripada pasukan JDT.

Dan ketika ini, JDT bakal mengikut jejak Pahang Rangers dan Selangor MAC mendapatkan seorang pemain import dari Iran. Pemain itu dijangka akan mengisi kuota pemain import dari Asia.