Final MFC 2023: Pahang Rangers Muncul Juara Tewaskan JDT

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023, Pahang Rangers muncul juara Piala Futsal Malaysia (MFC) selepas mengatasi cabaran sengit Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) hari ini.

Kedua-dua pasukan beraksi di Stadium Melawati dengan misi berbeza. Pahang Rangers berharap dapat menggondol gelaran berganda dengan menjulang Piala Futsal Malaysia.

Sementara JDT pula yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia berharap dapat menjulang Piala Futsal Malaysia bagi meraikan kempen sulung mereka dalam arena futsal Malaysia.

Harimau Selatan tampil garang pada babak pertama. Mereka meraih gol pendahuluan menerusi Muhammad Ekmal Shahrin pada minit keenam.

Tersentak, Pahang Rangers bangkit memburu gol penyamaan dan berjaya melakukannya menerusi Ridzwan Bakri meledakkan gol penyamaan pada minit ke-16. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Ekmal kembali meletakkan Harimau Selatan di depan pada minit ke-23. Mohd Azwann Ismail memastikan kelebihan JDT makin selesa menerusi gol ketiga pada minit ke-34.

Bagaimanapun, Pahang Rangers kemudiannya menyumbat dua gol bagi mengikat kedudukan 3-3. JDT kemudiannya dirundung malang apabila Ekmal dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Masa tambahan menyaksikan Sergio Jamur menyumbat gol keempat pada minit ketiga. Bagaimanapun, kelebihan Tok Gajah tidak bertahan lama apabila Awalluddin Mat Nawi menyamakan kedudukan seminit selepas itu.

Dengan perlawanan terikat 4-4, penentuan sepakan penalti dibuat bagi menentukan juara MFC 2023. Ahmad Harith Naim Mohd Nasir muncul wira dengan menyempurnakan penalti untuk kemenangan kepada Pahang Rangers.

Kemenangan ini memastikan Tok Gajah menggondol trofi berganda dalam arena futsal negara untuk musim 2023.