Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi telah mengesahkan bahawa beliau secara rasminya telah pun membuat keputusan untuk bersara dari dunia gimnastik.
Hal ini telah pun diumumkan olehnya menerusi satu kenyataan di laman rasmi Instagram miliknya.
Atlet berusia 27 tahun itu memuat naik satu hantaran bagi menjelaskan situasi sebenar selepas beliau dikatakan telah pun meninggalkan kem latihan kebangsaan baru-baru ini.
Menerusi kenyataan tersebut, Farah memberitahu bahawa beliau telah berfikir panjang sebelum mengambil keputusan ini.
’25 tahun lalu seorang budak kecil telah mempertaruhkan nasibnya untuk menceburi dunia gimnastik.’
’Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan langkah yang akhirnya menjadi satu minat yang paling besar dalam diri saya.’
Sungguhpun begitu, selepas 25 tahun berkecimpung dalam dunia sukan ini, beliau merasakan bahawa inilah masa yang sesuai untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sukan ini.
’Saya hanya boleh katakan terima kasih kepada mereka yang sudah memberi tunjuk ajar, kasih sayang dan juga sokongan sepanjang karier saya.’
Beliau turut merakamkan penghargaan apabila berpeluang untuk mewakili negara ke pentas teringgi kejohanan seperti sukan Olimpik dan sebagainya.
Namun begitu, Farah menjelaskan bahawa beliau tidak akan sesekali melupakan dunia sukan yang pernah menjulang namanya ini sebaliknya akan terus menceburkan diri dalam dunia sukan selama-lamanya.