Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Hajat Harimau Malaya mengadakan perlawanan persahabatan berkualiti dengan lawan yang menduduki ranking tinggi dijangka akan menjadi kenyataan. Ini selepas FAM bersedia merancang aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Jordan.
Hal ini didedahkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Jordan (JFA), Putera Ali Bin Al Hussein di Amman, Jordan.
Lawatan ini bertujuan membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala kedua-dua negara termasuk pembangunan akar umbi dan bola sepak wanita.
“Terima kasih kepada Putera Ali yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Jordan.
“Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan dengan Jordan merangkumi semua peringkat umur, termasuk skuad kebangsaan wanita, futsal dan bola sepak pantai di bawah kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nanti.
“Saya optimis perbincangan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” katanya.
Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Haji Rahman, Setiausaha Agung JFA, Samar Nassar dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF), Khalil Al-Salem.
Dari segi ranking FIFA, Jordan ketika ini menduduki ranking ke-84, jauh meninggalkan Malaysia yang menduduki ranking ke-145.
Tetapi perlawanan sebegini dilihat dapat membantu Harimau Malaya menjadi pasukan yang lebih hebat di bawah bimbingan Kim Pan-gon lebih-lebih lagi sebagai persiapan untuk Piala Asia 2023.