FAM Mahu “Nyahkan” Ryuji Sato

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Mutu pengadilan Ryuji Sato dalam dua perlawanan antarabangsa membabitkan Harimau Malaya telah mencetuskan kemarahan penyokong tempatan. Dan hari ini, FAM memohon agar nama pengadil Jepun itu tidak lagi disenaraikan sebagai pengadil mana-mana perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan kebangsaan.

Keputusan ini dibuat menerusi surat rasmi yang dihantar FAM kepada AFF kelmarin. Dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Malaysia-Vietnam, Sato terkhilaf semasa membuang padang bek kanan Azam Azmi dan menganugerahkan sepakan penalti kepada Pahlawan Bintang Emas. Keputusan Sato dikritik ramai pihak termasuk bekas pengadil negara, Subkhiddin Mohd. Salleh.

Sato turut menjadi tumpuan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 pada Jun 2021 membabitkan Malaysia dan Vietnam. Tindakan pengadil Jepun itu menganugerahkan sepakan penalti kepada Pahlawan Bintang Emas mengakibatkan Harimau Malaya tewas tipis 2-1.

Dengan melihat semua ini, tidak hairanlah kenapa FAM enggan lagi melihat kelibatnya di atas padang. Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman mengesahkan hal itu di­nyatakan sejelas-jelasnya dałam surat rasmi yang dihantar kelmarin.

“Kita telah hantar surat rasmi dengan rakaman video Sato dan berharap Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) membuat pertimbangan semula. Meskipun keputusan tidak berubah, tetapi sekurang-kurangnya untuk apa yang berlaku dijadikan iktibar pada masa akan datang.

“Kalau dalam bahasa mudah difahami, kita (FAM) tidak mahu Ryuji mengadili perlawanan membabitkan Malaysia agar isu seumpama ini tidak berulang lagi. Bila kita hantar laporan rasmi itu harap AFF fahamlah,” katanya selepas ditemui media kelmarin.