Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu setuju dengan tindakan tatatertib yang diambil terhadap pemain hoki wanita kebangsaan, Hanis Nadiah Onn.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) pada kelmarin telah memutuskan untuk menggantung Hanis daripada mana-mana kejohanan antarabangsa termasuklah temasya Sukan SEA Kemboja yang bakal berlangsung pada Mei kelak.
Faizal dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tindakan ini adalah tepat untuk dijadikan pengajaran semua pihak agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan.
“Penggantungan in merupakan peringatan yang tepat pada masanya kerana komen berbaur perkauman tersebut tiada ruang dalam masyarakat Malaysia yang berbilang-kaum. Rasa hormat antara satu sama lain adalah asas paling penting kepada masyarakat kita, dan sebagai seorang pemain hoki kebangsaan, Hanis harus bertanggungjawab atas komen tersebut.”
Menurut Faisal, jangkahayat kerjaya sescorang atlet lazimnya singkat. Oleh itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu menggesa setiap atlet menyedari akan kepentingan menjaga keharmonian negara.
Hal ini bagi mengelakkan perpecahan antara kaum ekoran komen-komen yang berunsur perkauman.
“Asas kepada masyarakat Malaysia itu tersemat melalui rasa hormat di antara satu sama lain, tidak mengira perbezaan politik, bangsa dan agama.”
“Setiap dari kita mempunyai peranan yang perlu dipikul untuk memastikan rasa hormat itu sentiasa subur. Jadikan pengalaman Hans ini sebagai iktibar untuk kita semua,” tulis Faizal dalam hantaran terkini beliau di Facebook.