Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Semalam, Faisal Halim mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Ini selepas dia mengeluarkan satu ciapan di Twitter tanpa menyatakan siapa yang ditujukan dan menyertakan tanda pagar #pulangkanhaksaya.
Hari ini, ramai pengamal media percaya ia sebenarnya ditujukan kepada bekas majikan lamanya, Terengganu FC (TFC) sekaligus mencetuskan drama baru antara kedua-duanya.
Menurut satu sumber kepada Arena Metro, ia disebabkan tindakan pengurusan TFC memotong gaji Faisal tanpa sebarang notis dan surat tunjuk sebab disebabkan beberapa kenyataan pedasnya terhadap pengurusan TFC pada musim 2022.
“Saya difahamkan luahan ditulis Faisal adalah berhubung dengan gajinya yang didakwa dipotong pihak pengurusan TFC berikutan beberapa kenyataan beraninya sebelum ini mengkritik bekas majikannya itu.
Berdasarkan maklumat, surat tunjuk sebab tidak diberikan kepada pemain itu, begitu juga notis ataupun surat berkaitan pemotongan gaji, berikutan itu Faisal berasa teraniaya menyebabkan dia meluahkan dalam Twitter miliknya semalam,” jelas sumber berkenaan.
Antara kenyataan pedas Faisal semasa bersama Terengganu ialah rasa tidak puas hati terhadap pengurusan TFC berkenaan situasi kontrak baru jurulatih ketika itu, Nafuzi Zain.
Walaupun skuad Penyu mempamerkan kecemerlangan pada musim 2022, pengurusan TFC seolah-olah berlengah dalam menawarkan kontrak baru kepada Nafuzi.
Disebabkan kelewatan pihak pengurusan menawarkan kontrak kepada Nafuzi, ini menyebabkan Faisal sukar membuat keputusan sama ada mahu menerima tawaran lanjutan kontrak TFC atau tidak.
Secara tidak langsung, faktor ini juga yang mendorong Nafuzi dan Faisal mencari angin baru dengan Nafuzi kini menjadi jurulatih Kedah. Manakala bekas pemain Sri Pahang itu menyertai Selangor dengan kontrak dua tahun.