Duit Simpanan Persaraan RM50 Juta Usain Bolt Lesap Dicuri

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Bukan sekali kita mendengar berita berkenaan skim penipuan pelaburan dengan nilai mencecah jutaan ringgit. Tetapi tiada siapa akan menyangka hal ini turut menimpa legenda olahraga dunia dari Jamaica, Usain Bolt.

Ini selepas pihak berkuasa negara itu melancarkan siasatan ke atas sebuah firma pelaburan swasta yang bertanggungjawab menyelia akaun bank bekas pelari pecut terpantas dunia itu. Difahamkan, lebih AS$12.7 juta (RM54.5 juta) hilang daripada akaun bank Bolt.

Susulan itu, Bolt menerusi peguamnya Linton P. Gordon menghantar satu surat tuntutan kepada firma Stocks & Securities Limited bagi mendapatkan semula wangnya. Gordon turut menyatakan baki wang dalam akaun bekas pelari pecut Jamaica itu ialah sebanyak AS$12,000 (RM51,500).

Surat tersebut dihantar pada hari sama Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica mengumumkan perlantikan seorang juruaudit khas bagi menyiasat dakwaan penipuan syarikat tersebut.

Ini selepas Stocks & Securities Limited mengesan berlakunya unsur penipuan dalam syarikat awal bulan dan beberapa orang klien mereka kehilangan wang bernilai jutaan dolar.

“Sekiranya ini betul, dan kami harap ia tidak betul, maka ia merupakan satu tindakan penipuan serius yang telah dilakukan terhadap anak guam kami,” kata Gordon menerusi surat yang dihantar.

Susulan lantikan auditor khas itu, sebarang transaksi syarikat perlu mendapat kelulusan kerajaan sementara siasatan sedang dijalankan.

Bolt merupakan atlet olahraga paling terkenal dalam sejarah Sukan Olimpik. Beliau memenangi lapan pingat emas dari 2008 hingga 2016.

Bolt juga merupakan pemegang rekod beberapa acara olahraga iaitu lari pecut 100 meter (9.58 saat), lari pecut 200 meter (19.19 saat) dan lari berganti-ganti 4×100 meter (36.84 saat).