Dudu Lima Bakal Sertai JDT?

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas menjulang empat kejuaraan musim ini, JDT mula sibuk memperkuatkan pasukan termasuk membawa pemain import baru. Walaupun nama pemain import baru Harimau Selatan belum didedahkan, ramai peminat JDT percaya Dudu Lima bakal menyertai pasukan itu selepas didapati menyukai hantaran-hantaran Instagram kelab dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor.

Salah satu komen di Instagram yang ditinggalkan Dudu Lima yang menarik perhatian penyokong ialah komen ‘OMG’ pada hantaran video kelab. Video yang dimaksudkan ialah detik-detik Harimau Selatan menjulang empat gelaran dalam Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebelum ini, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan rancangan JDT membawa masuk seorang penyerang Brazil untuk saingan liga musim hadapan. Bagaimanapun, baginda tidak mendedahkan identiti pemain yang dinyatakan.

Sekiranya Dudu Lima merupakan pemain yang dimaksudkan, pemain berusia 34 tahun ini kaya dengan pengalaman beraksi di beberapa negara termasuk Iraq, Vietnam, Thailand dan Turki. Ketika ini mewakili kelab divisyen tiga Thailand Nonthaburi United, dia juga pernah beraksi bersama Saigon FC, Udon Thani FC, Ayvalikgucu BLD dan Zeravani SC.

Dudu Lima telah mewakili Nonthaburi United sejak 2020 dengan kontraknya dijangka berakhir awal tahun hadapan. Jika perpindahan ini menjadi kenyataan, beliau dijangka bergandingan dengan Bergson da Silva di bahagian serangan.