Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas FAM memanfaatkan pemain naturalisasi bagi memantapkan Harimau Malaya, langkah sama bakal ditiru Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA). Difahamkan, ada dua pemain berdarah Amerika Syarikat bakal dipilih MABA sebagai pemain naturalisasi.
Ini sebagai persiapan persatuan itu bagi menghadapi Sukan SEA di Kemboja yang akan berlangsung pada Mei ini.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock mendedahkan beberapa pemain telah dikenalpasti untuk melalui proses naturalisasi sebelum diserap ke dalam pasukan bola keranjang lelaki dan wanita.
Dua pemain yang dicanang sebagai calon naturalisasi ialah Tevin Charles Glass dan Amir Darrion Williams. Dua pemain Amerika Syarikat ini beraksi dengan NS Matrix dengan kedua-duanya memiliki ketinggian melebihi 1.82 meter.
“Kita sudah menghantar permohonan (naturalisasi) kepada kerajaan. Sekiranya diluluskan, pasukan kebangsaan akan beraksi lebih baik dalam Sukan SEA tahun ini jika dibandingkan dengan aksi sebelumnya di Hanoi.
“Kita harus menerima hakikat bahawa saiz fizikal amat penting dalam bola keranjang. Bila kita kalah, ini bukan disebabkan kita tidak melawan, banyak kali disebabkan lawan kita mempunyai kelebihan dari segi saiz,” kata Tian Hock.
Negara-negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina turut merekrut pemain naturalisasi sebagai sebahagian daripada pasukan bola keranjang mereka. Ini menjadikan negara-negara ini sukar diatasi di atas gelanggang – satu fakta yang sedia diketahui oleh Presiden MABA itu.
“Banyak pasukan ini mempunyai ramai pemain naturalisasi yang mempunyai ketinggian melebihi 1.82 meter. Justeru, (untuk kekal kompetitif), kita perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua pemain naturalisasi.
“Tevin dan Amir ketika ini beraksi dengan Matrix dan kami harap dapat menyerap kedua-duanya dalam pasukan kebangsaan,” tambahnya.