Dua Isteri Jurulatih Bola Sepak Bergaduh

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas tular kisah seorang jurulatih bola sepak berkahwin lagi, jurulatih tersebut sekali lagi menjadi tumpuan media. Ini selepas kedua-dua isterinya dilaporkan bergaduh di sebuah restoran di Shah Alam pada awal pagi Isnin lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, polis menerima laporan daripada isteri kedua jurulatih itu yang juga seorang penyanyi pada jam 2.18 pagi Isnin, sejurus insiden itu berlaku.

“Suspek dalam kes ini merupakan isteri pertama yang dikatakan telah menarik rambut pengadu (isteri kedua) di dalam restoran tersebut sehingga membawa pergaduhan dan pertengkaran di luar restoran.

“Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati punca pergaduhan tersebut disebabkan suspek merasa dirinya tersindir dengan kenyataan pengadu dalam sebuah program realiti dan marah kepada pengadu kerana telah berkahwin dengan suami tanpa pengetahuannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Iqbal lagi, isteri pertama turut memfailkan laporan berkenaan insiden tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Keterangan kedua-duanya dan suami telah diambil untuk siasatan lanjut. Cubaan media menghubungi jurulatih berusia 60-an itu berkenaan insiden tersebut bagaimanapun tidak berhasil.