Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Di sebalik kejayaan seseorang pasti ada insan yang sentiasa memberikan sokongan yang tidak pernah henti untuk terus melangkah dan juga percaya diri. Begitu juga Cheah Liek Hou, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2020 yang berpaut pada dua insan yang sering membantunya dalam meraih kejayaan.
Dalam satu temubual bersama Astro Arena, ibu dan isteri Liek Hou telah ditanya mengenai perasaan mereka ketika memperolehi emas ketiga negara tempoh hari. Ibu Liek Hou, Jap Joe Tin bangga melihat kejayaan anaknya.
“Ini kali pertama sukan ini dipertandingkan. Jadi kalau yang pertama ini Liek Hou sudah sukses, kita pasti bahagia dan berbangga dengan pencapaian itu. Tugas saya sudah selesai, dia sudah dapat apa yang diimpikan.”
Isteri Liek Hou, Dewi Febriana turut berbangga dengan pencapaian suaminya. Hasil titik peluh Liek Hou sebelum ini menatijahkan kemenangan.
“Dia sentiasa kerja keras, hari-hari dia berlatih. Dia kalau penat pun tetap kuat dan tahan demi temasya Paralimpik Tokyo 2020. Ini memang impian dia untuk mendapatkan emas pada dan kebetulan tahun ini sukan badminton dipertandingkan. Jadi saya sangat bahagia melihat dia berjaya mendapatkan emas pertama dalam sukan itu.”
Dalam pada itu, ibu Liek Hou menyatakan bahawa Dewi Febriana adalah insan yang paling banyak membantu dan menyokong Liek Hou.
“Isterinya tetap sokong, tetap buat apa yang dikehendaki anak saya itu. Dewi menunaikan semua hasrat Liek Hou dengan senang hati ”
Ketika ditanya soal pengorbanan, Dewi menjawab bahawa pengorbanan Liek Hou terhadap keluarga dan negara tidak dapat dihitung.
“Pengorbanan paling besar? Banyak ya. Liek Hou selalu mengatakan kepada saya, umurnya sudah 33 tahun jadi terkadang dia sedikit berkecil hati kerana saingan di temasya kali ini semuanya masih muda. Jadi dia benar-benar berlatih, berusaha dan fokus dari pagi malam demi mencapai emas.”
“Liek Hou sekitar 3 bulan lalu sudah mula berkampung di Bukit Jalil. Sudah pasti dari kami, ada rasa rindu namun Liek Hou tidak jemu menghubungi saya setiap malam dan bertanya tentang keadaan keluarga dirumah.” tambah Dewi.”
Pengorbanan ibu Liek Hou terhadap jaguh badminton negara ini amatlah besar. Sejak kecil ibunya sentiasa berusaha untuk menunaikan hajat dan impian Liek Hou dalam sukan badminton ini.
“Kita sebagai ibu, orang tua kepada anak kita inikan tugas dan tanggungjawab. Apapun yang mereka inginkan kita cuba selesaikan.”
Kisah pengorbanan dua insan ini adalah pendorong terbesar kejayaan Liek Hou hari ini. Saat ini, Cheah Liek Hou berjaya mencipta sejarah buat dirinya dan negara. Atlet yang berusia 33 tahun itu berjaya menjadi atlet badminton pertama negara yang menghadiahkan kilauan emas buat Malaysia.