Datuk Seri Jalani Sidek Pertimbang Jawatan Presiden BAM

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek bersedia menimbang kemungkinan menjadi calon merebut jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ini susulan pengumuman Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bahawa beliau akan mengundur diri pada akhir tahun ini dalam satu sidang media khas baru-baru ini.

Jalani yang juga Presiden Kelab Badminton Nusa Mahsuri tidak menolak berbuat demikian sekiranya ia mampu memberi kebaikan kepada sukan badminton negara.

“Tanggapan orang bahawa saya ada tokoh kepimpinan, saya tidak boleh tolak kerana itu pandangan mereka. Bagi saya tiada masalah (Presiden BAM) demi untuk sukan dan kebaikan badminton negara,” katanya.

Nama Jalani mula timbul selepas dicanang sebagai pengganti Norza oleh Ahli Panel Penasihat BAM, Roslin Hashim. Bekas pemain nombor satu dunia itu melihat organisasi berkenaan patut dipimpin oleh individu yang ada pengalaman dan kepakaran dalam sukan badminton.

Jalani yang pernah membentuk gandingan regu legenda mantap bersama abangnya, Dato’ Razif Sidek melihat pengurusan BAM memerlukan persefahaman semua orang dari bahagian pengurusan hinggalah barisan kejurulatihan dan teknikal.

“Seperti BAM, Tan Sri (Norza) menguruskan dana serta penajaan. Barisan kejurulatihan pakar dalam bidang teknikal. Mereka ada model tertentu dalam proses untuk melahirkan juara.

“Persefahaman yang baik dalam kalangan pihak berkenaan mampu menjadikan organisasi itu berjaya dan pemain berupaya meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

“Pemain berjaya dan menang banyak kejohanan, duit serta penajaan akan masuk (ke kantung BAM),” tambahnya.

Norza sebelum ini sudah mendedahkan bakal berundur sebagai Presiden BAM selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Bagaimanapun, susulan polemik yang timbul antara BAM dengan bekas Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek berkenaan isu pemecatannya, beliau telah mengubah fikiran tentang tempoh berkenaan.