Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Ahli panel penasihat teknikal BAM, Datuk Seri Jalani Sidek membidas badan induk itu kerana terburu-buru membuat keputusan memecat Datuk Misbun Sidek sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan remaja tanpa mengkaji punca sebenar kemerosotan mereka.
Jalani melihat pengurusan BAM yang sepatutnya menjaga sukan badminton negara dilihat lebih berminat mengejar publisiti daripada memikirkan soal jangka panjang sukan berkenaan.
Salah satu isu berbangkit ialah isu pembangunan akar umbi. Jalani merasakan dengan membandingkan pembangunan akar umbi badminton Malaysia dengan negara-negara lain, negara sudah jauh ketinggalan.
Kesannya sudah mula dilihat pada perseorangan remaja negara dan ini patut diatasi dengan langkah-langkah bersifat jangka panjang.
“Pasal badminton ini, dia akan melibatkan Datuk Misbun (Sidek) sebab dia berada di dalam. Jadi nanti kalau saya bercakap, orang akan tanya kenapa saya bercakap sedangkan you tahu Datuk Misbun ada di dalam.
“Sama juga dengan you tahu Roslin (Hashim) ada masalah dengan BAM tetapi Hafiz Hashim jadi coach di dalam. Apa yang dia cakap berdasarkan pengalaman, pengalaman di mana dia pernah menjadi world number one.
“Jadi, kat sini apa yang berlaku ini pada sayalah sangat sedih. Kerana orang yang sepatutnya bertanggubgjawab untuk naikkan badminton, hanya nak publisiti apabila menang je. Tapi bila kalah, tak nak terima kenyataan.
“Sebenarnya dari segi pembangunan, kita sudah jauh ketinggalan disebabkan macam saya cakap, expertise orang yang di atas itu pada mereka, takde satu pun yang mereka buat penilaian.
“Macam di China, apa diorang buat, balik buat rumusan. Pergi Korea, Jepun dan sekarang India pun dah mula naik. Di India, kelab-kelab mereka banyak dan mereka ada banyak duit untuk spend on the development,” katanya dalam sidang media khas bersama Misbun hari ini.
Pada minggu lepas, BAM mengumumkan Datuk Misbun Sidek tidak lagi memegang peranan sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan remaja badan induk itu secara persetujuan bersama.