Dato’ Azizulhasni Jelaskan Punca Kayuhannya Dibatalkan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Jaguh pelumba basikal Malaysia, Dato’ Azizulhasni Awang mendedahkan sebab kayuhannya dalam acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2023 yang berlangsung di Glasgow, Celtic dibatalkan.

Azizulhasni yang bersaing dengan pelumba Australia, Tom Cornish dalam pusingan kedua acara tersebut berjaya meraih kemenangan pada akhir perlumbaan. Bagaimanapun, komisar perlumbaan membatalkan kemenangan beliau atas alasan membahayakan pihak lawan kerana berada dalam laluan Cornish.

Azizulhasni mengakui beliau termasuk sedikit dalam laluan pelumba Australia itu. Apabila beliau menyedari perkara itu, Raja Pecut Asia itu berusaha memastikan tidak berlaku perlanggaran antara kedua-duanya.

Azizulhasni melihat insiden ini berkait dengan faktor trek pada Velodrom Sir Chris Hoy di Glasgow yang menjadi tuan rumah acara berbasikal trek. Dengan faktor trek termasuk tekanan graviti mampu mempengaruhi kedudukan pelumba, beliau berharap perkara ini tidak menghalangnya layak ke final acara keirin.

“Ianya sukar buat orang-orang yang tak mengayuh basikal untuk faham bahawa setiap trek ada cirinya yang tersendiri. Di trek ini, jika anda bergerak pantas pada separuh selekoh, lepas selekoh keempat, tekanan graviti akan menarik anda ke bawah.

“Bagi orang yang tak faham, dia ingat kita ni turun ke bawah. Jadi, saya kena hati-hati dengan perkara itu. Nak kena hati-hati bila masuk selekoh dengan kelajuan tinggi.

“Dan keirin ni bila kita race (berlumba) ramai, kita akan lebih berhati-hati. Jadi, saya tak mahu terlibat dengan apa-apa masalah. Saya hanya nakkan perlumbaan yang bersih dan bagus agar dapat sampai ke final esok (tengah malam ini),” katanya menerusi satu perkongsian video di Astro Arena.

Ironinya, Azizulhasni bakal bersaing kembali dengan Cornish dalam suku akhir acara keirin. Selain pelumba Australia itu, pelumba tuan rumah, Jack Carlin dan jaguh Belanda, Harrie Lavreysen juga bakal menjadi ancaman buat The Rocket Pocketman itu.