Cabaran Sulit Menanti Pearly-Thinaah

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Regu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah perlu berwaspada dengan cabaran apabila tirai Terbuka Malaysia 2023 dibuka pada 10 Januari ini di Axiata Arena.

Ini kerana di pusingan pertama, mereka bakal berdepan Stoeva bersaudara yang juga regu ke-12 dunia, Gabriela dan Stefani Stoeva. Dan mereka telah membuktikan kemampuan dengan menjulang Terbuka Switzerland dan Orleans Masters pada tahun lepas.

Malah, mereka turut mengheret regu nombor satu China, Chen Qingchen-Jia Yifan dalam pertarungan tiga set di final Terbuka Jerman sebelum tunduk 16-21, 30-29, 19-21.

Satu-satunya pertarungan membabitkan Pearly-Thinaah dengan Stoeva bersaudara ialah pada final Terbuka Switzerland 2021 dengan regu negara muncul juara. Sekiranya berjaya melepasi mereka, Pearly-Thinaah bakal berdepan regu ke-17 dunia dari India, Treesa Jolly-Gayathri Gopichand.

Sekiranya berjaya, maka Qingchen-Yifan bakal menjadi lawan mereka di peringkat suku akhir. Walaupun berdepan laluan berliku, Pearly-Thinaah mahu beraksi lebih baik daripada edisi 2022 di mana mereka tersingkir di pusingan kedua.

Tetapi bukan Pearly-Thinaah saja berdepan cabaran untuk Terbuka Malaysia. Bekas juara edisi 2022 dan regu ke-11 dunia dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti perlu melepasi dua regu terbaik Korea Selatan, Jeong Na-eun-Kim Hye-jeong (ranking ketiga dunia) dan Kim So-yeong-Kong Hee-yong (ranking kelima dunia) di pusingan kedua dan suku akhir jika mahu mara ke separuh akhir.