Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pemain nombor tujuh dunia, Lee Zii Jia tampil memberikan komentar berhubung isu yang hangat diperkatakan ketika ini. Setelah menghantar borang permohonan keluar dari BAM, status semasa Lee Zii Jia kini menjadi tanda tanya.
Zii Jia yang ditemui wartawan selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia hari ini menjelaskan bahawa keputusan yang dibuatnya itu bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu beliau fikirkan dan beliau berharap BAM dapat merestui kehendaknya itu.
“Saya tahu banyak orang cakap yang saya dapat tawaran lumayan di luar dan mungkin disebabkan duit saya keluar BAM. Saya tidak boleh menghalang apa orang mahu cakap kerana mereka ada fikiran mereka sendiri dan saya pun ada pendirian saya.”
“Ia bukan keputusan yang mudah, saya mengambil masa yang lama memikirkan mengenai perkara ini. Saya harap BAM akan memberi restu kepada saya (bergerak secara profesional).”
Pemain berusia 23 tahun itu mengakui bahawa BAM memiliki kemudahan dan keistimewaan terbaik untuk atlet-atlet badminton. Bagaimanapun Zii Jia mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau memilih untuk meninggalkan BAM.
“Saya akan beri penjelasan sepenuhnya mengenai semua ini selepas BAM umum keputusan mereka. Saya ada kawan seperti Lai Pei Jing (pemain beregu campuran profesional). Dia ada kongsikan mengenai kesukaran untuk mencari penaja di luar. Saya tahu BAM ada fasiliti terbaik dan seperti saya katakan ini bukan keputusan yang mudah.”
Anak muda kelahiran Kedah ini menegaskan bahawa wang bukanlah sebab utama beliau mengambil langkah keluar dari BAM. Sebaliknya beliau akan memberikan penjelasan penuh berhubung isu ini setelah BAM mengeluarkan keputusan rasmi.
“Ada satu sebab yang saya tidak boleh cakap sekarang tetapi ia bukan disebabkan duit. Apa pun, kita tunggu dulu pengumuman daripada BAM dan selepas itu saya akan beri penjelasan.”
“Memang saya bincang dengan barisan jurulatih tetapi saya tidak mahu libatkan mereka dalam hal ini. Apa yang saya harapkan adalah restu daripada mereka,” katanya kepada Berita Harian.