Bola Sepak Wanita: Filipina Tewas Tipis Kepada Wales

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pasukan bola sepak wanita Filipina memulakan kempen dalam Piala Pinatar dengan langkah kiri selepas tewas tipis 1-0 kepada Wales awal pagi tadi. Walaupun kalah tipis, anak-anak buah Alen Stajcic memberi tentangan sengit kepada pasukan Eropah itu.

Babak pertama menyaksikan Filipina berupaya menyerap asakan pihak lawan. Bagaimanapun, tak lama sebelum babak pertama berakhir, terjahan oleh Dominic Daniel dalam kotak penalti mengakibatkan anak-anak buah Gemma Grainger diberi sepakan penalti.

Penyerang Brighton, Kayleigh Green mudah menewaskan penjaga gol Olivia Daniel bagi meletakkan Wales di hadapan. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Filipina hampir menyamakan kedudukan menerusi Katrina Guillou pada minit ke-48 tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Manchester United, Safia Middleton-Patel. Di sebalik serangan bertubi-tubi Wales, keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam satu lagi aksi Piala Pinatar, Iceland menewaskan Scotland 2-0. Sekiranya Filipina mahu merekodkan kemenangan pertama dalam kejohanan itu, Scotland merupakan peluang terbaik untuk berbuat demikian.

Piala Pinatar 2023 merupakan sebahagian daripada persiapan Filipina bagi menghadapi Piala Dunia Wanita 2023 yang akan diadakan di New Zealand dari 20 Julai hingga 20 Ogos.