Bintang Selangor Bakal Berhijrah Ke Eropah

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas Intan Serah Anisah Zulgafli dan Azurin Mazlan, seorang lagi pemain wanita negara bakal beraksi di luar negara. Pemain yang dimaksudkan ialah pemain Selangor FC, Nur Lyana Soberi.

Menurut laman sesawang rasmi Merah Kuning, Lyana bakal beraksi dengan kelab Kosovo, KFF Presingu untuk tempoh lapan bulan.

Ramai pemerhati bola sepak wanita negara menyifatkan pemain berusia 24 tahun itu mempunyai bakat menakjubkan. Aktif sejak 2017, Lyana pernah menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah sebanyak dua kali iaitu pada 2018 dan 2022.

Beliau juga dianggap tonggak utama The Red Giants yang menjulang gelaran Liga Wanita Selangor musim ini. Atas jasanya itu, Lyana turut dianugerahkan Pemain Paling Berharga liga.

Beliau mula mewakili Malayan Tigress sejak tahun 2019. Lyana pernah beraksi dalam Kejohanan Wanita AFF 2019 di Thailand dan edisi 2022 di Filipina, Pusingan Kelayakan Piala Asia 2021 di Palestin dan Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Sebelum menerima tawaran Presingu, beliau sudah beraksi sebanyak tiga kali untuk Selangor dalam Liga Wanita Nasional 2023.