Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pelari pecut wanita Malaysia, Shereen Vallabouy mengharumkan nama negara apabila memecah rekod kebangsaan acara 200 meter wanita, rekod yang bertahan selama 25 tahun.
Shereen mencipta catatan masa 23.33 saat pada perlumbaan final acara 200 meter Kejohanan Ed Murphey Classic 2023 di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat awal pagi tadi.
Ini sekaligus memadamkan rekod 23.37 saat yang dicipta G. Shanti dalam Kejohanan Asia 1998 di Fukuoka, Jepun.
Walaupun sekadar menduduki tempat keempat dalam perlumbaan akhir, ini satu pencapaian membanggakan buat Shereen. Malah, video larian beliau turut dikongsikan akaun X #TeamMalaysia beberapa jam lepas.
Perlumbaan akhir acara 200 meter wanita itu dimenangi Nataliah Whyte dari Jamaica dengan catatan 22.76 saat. Manakala Talitha Diggs dari Amerika Syarikat dan Favour Ofili masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa 22.83 saat dan 22.94 saat.
Pada April lepas, Shereen mencipta kejutan dengan meleburkan rekod kebangsaan 400 meter wanita kebangsaan yang dipegang Rabia Abdul Salam dengan catatan masa 51.80 saat.
Catatan yang dicipta dalam acara saringan 400 meter wanita Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC ke-63 di California itu memadamkan terus rekod 52.56 saat yang dicipta Rabia di Filipina pada 1993.