Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas menggondol lima gelaran pada separuh kedua tahun ini, pemain perseorangan negara Justin Hoh tidak mahu berhenti di situ saja. Dengan 2023 bakal menjelang, dia mahu membanggakan nama Malaysia dengan menembusi carta 100 pemain terbaik dunia dalam tempoh 183 hari.
Ketika ini, fokus utama Justin ialah Terbuka Estonia yang berlangsung dari 12 hingga 15 Januari ini. Dia mahu berada pada tahap terbaik kerana ia dapat membantu dirinya mencapai sasaran kedudukan 100 pemain terbaik.
“Saya biasanya berlatih tiga jam atas gelanggang pada waktu pagi dan tiga jam lagi di gimnasium pada waktu tengah hari. Saya mahu pastikan diri dalam keadaan bersedia,” katanya.
Justin mempunyai sebab kukuh untuk berada dalam keadaan terbaik. Sebelum ini, dia mengalami kecederaan kaki di peringkat separuh akhir Siri Remaja Antarabangsa Malaysia pada September lalu. Ini memaksanya menarik diri semasa menentang Yudai Okimoto dari Jepun dalam perlawanan berkenaan.
Disebabkan kecederaan tersebut, ia sedikit sebanyak menggugat prestasinya dalam beberapa kejohanan selepas itu. Ini termasuk kekalahan di pusingan empat Kejohanan Remaja Dunia pada Oktober lepas.
Oleh sebab itu, Justin mahu memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik lebih-lebih lagi selepas dinaikkan pangkat ke pasukan badminton senior negara sebulan lepas. Dan dia berpuas hati dengan apa yang dicapai pada tahun ini.
“Saya tidak bertanding pada separuh pertama tahun ini tetapi saya telah menang lima daripada lapan kejohanan pada separuh kedua tahun ini.
“Harapnya, lebih banyak perkara dapat dicapai tahun depan dan saya berharap dapat menembusi 100 pemain teratas untuk separuh pertama tahun hadapan,” katanya.
Justin telah menggondol lima gelaran iaitu Cabaran Antarabangsa Malaysia, Kejohanan Badminton Kebangsaan Bawah 21 Tahun, Cabaran Antarabangsa Bonn, Terbuka Croatia dan Siri Antarabangsa Remaja India.