Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bola sepak ASEAN terus menampakkan kebangkitan terutama untuk bola sepak wanita. Semalam, bintang muda Filipina, Reina Bonta telah melengkapkan perpindahan ke kelab gergasi Brazil, Santos.
Perpindahan ini sememangnya mengujakan pemerhati bola sepak Filipina dan ASEAN. Ini kerana Santos bukan saja kelab gergasi bola sepak lelaki Brazil tetapi juga gergasi dalam arena bola sepak wanita Brazil.
Bonta, 23, merupakan pemain ke-11 yang diikat kelab itu bagi menghadapi musim baru Serie A1 Brazil (Kejohanan Bola Sepak Wanita Kebangsaan Brazil). Sebelum ini, dia beraksi bersama San Francisco Nighthawks di Amerika Syarikat pada tahun lepas.
Memulakan karier sebagai pemain tengah, Bonta kini dikenali sebagai pemain pertahanan. Pertukaran posisi ini amat mirip dengan perwatakannya sebagai pemain.
Bonta merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Filipina yang membantu negara itu layak ke Piala Dunia Wanita 2023. Kejohanan tersebut bakal diadakan pada Julai ini.
“Untuk majoriti karier saya, saya bermain sebagai pemain tengah. Kini sebagai pemain pertahanan, saya amat selesa dengan bola dan mempunyai visi permainan yang baik. Saya tidak akan berhenti mengejar dan tidak memberi sebarang peluang untuk melakukan jaringan,” katanya.
Bonta menyifatkan perpindahan ke Santos merupakan satu mimpi yang menjadi kenyataan dan tidak sabar membuat penampilan pertama bersama pasukan itu.
“Saya melihat ini sebagai satu penghormatan berada di Brazil dan di kelab yang hebat ini. Santos merupakan sebuah kelab legenda dengan pencapaian yang tidak boleh disaingi sesiapa.
“Semasa kecil, saya diajar bermain dengan semangat dan kreativiti, dan saya fikir ini akan membantu saya beradaptasi dengan pengalaman baru ini kerana ia bersesuaian dengan bola sepak Brazil,” tambahnya.