Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Impian skuad hoki remaja lelaki negara untuk menamatkan kempen di Piala Dunia Remaja (JWC) 2021 di Bhubaneswar, India pada kedudukan yang sebaiknya disekat setelah tewas besar kepada Belanda dengan keputusan 3-9 hari ini.
Ini juga sekaligus melenyapkan impian para pemain untuk sekurang-kurangnya meraih tempat kelima atau keenam pada edisi kali ini.
Gergasi Eropah itu mempamerkan corak permainan yang cukup bertenaga dan memberangsangkan melalui penguasaan permainan. Ini membuahkan hasil apabila Belanda mendapat gol sulung menerusi jaringan padang Miles Bukkens pada minit ketiga sebelum Luke Dommershuijzen melakukan hatrik semua menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat, ke-14 dan ke-34 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Kalinga.
ini dilihat menjadi titik permulaan buat Belanda meneruskan pesta gol selepas Max De Bie menjaringkan gol kelima pasukannya pada minit ke-37 sebelum Bukkens menyempurnakan satu pukulan sudut penalti pada minit ke-39 untuk melebarkan jaringan kepada 6-0.
Sungguhpun ketinggalan, para pemain Malaysia tidak mudah menyerah apabila Muhammad Fahmi Khalid menghasilkan gol Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-41 tetapi David Huusen melebarkan lagi jurang gol kepada 8-1 dengan menjaringkan gol ketujuh Belanda pada minit ke-51 menerusi jaringan padang dan gol kelapan pada minit ke-57 menerusi satu pukulan sudut penalti yang sangat baik.
Walaupun anak buah Wallace Tan seakan tidak berpeluang, namun mereka tidak mudah mengaku kalah dan mendapat dua gol padang berselang satu minit menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-59 dan Muhammad Nur Firdaus Rosdi pada minit ke-60.
Harapan tersebut dileburkan oleh Bukkens yang sempat menyempurnakan hatriknya juga pada minit yang sama untuk gol kesembilan Belanda.
Malaysia akan berhadapan Sepanyol dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan sementara Belanda dijangka berdepan naib juara 2016, Belgium bagi menentukan pasukan kelima terbaik kejohanan dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung Ahad ini.
Sebelum itu, Belgium mengatasi Sepanyol 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.