Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyimpan hasrat menjadi seorang pelakon filem sementara beliau masih tidak aktif dalam dunia politik.
Perkara ini dinyatakan beliau semasa ditemubual radio Kool 101 untuk segmen PM Kool 101 beberapa hari lepas. Baginya, ini satu peluang untuk merealisasikan hajatnya yang terpendam sebelum kembali menyertai dunia politik.
“Sebab saya tak pasti lagi nak comeback dalam politik ke tidak. Tapi katalah, katalah akan buat comeback satu ketika nanti.
“Tapi dalam masa berehat ni, ada satu lagi benda yang saya nak buat. Saya nak berlakon dalam filem,” katanya kepada penyampai radio Kool 101, Hanif Miswan dan Marsila Hassan.
Khairy turut mengakui beliau pernah berlakon dalam sebuah filem pendek satu ketika dahulu. Atas sebab itulah, beliau ingin merasai pengalaman berlakon dalam filem komersial pula.
Bekas Menteri Kesihatan itu juga bersedia menggalas watak serius tanpa mengira sama ada watak utama mahupun watak pembantu.
“Tapi dulu saya berlakon dalam filem pendek. Saya nak berlakon dalam feature film.
“Watak yang serius. Tak semestinya hero, boleh jadi villain, boleh jadi watak jahat tapi yang serius,” tambahnya.