Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Beberapa hari lepas, Thailand menghela nafas lega kerana berjaya membawa pulang satu mata dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Piala AFF 2022. Tetapi yang menjadi tumpuan penyokong kedua-dua pihak ialah terjahan keras bekas pemain Kedah, Sanrawat Dechmitr terhadap bekas pemain import Sabah, Saddil Ramdani.
Pada minit ke-62, Sanrawat yang kehilangan bola cuba menyekat Saddil daripada melarikan bola ke arah gol Thailand. Tetapi terjahannya itu disifatkan terlampau tinggi dan mengenai bahagian lutut dan peha sekaligus memaksa pengadil melayangkan kad merah terhadap bekas bintang pinjaman Kedah itu.
Sanrawat bernasib baik walaupun skuad Gajah Perang beraksi dengan 10 pemain, mereka dapat mengejar Indonesia yang mendahului menerusi penalti Marc Klok. Sarach Yooyen muncul wira dengan meledakkan rembatan kencang dari luar kotak penalti 11 minit sebelum perlawanan tamat.
Tetapi terjahan keras Sanrawat menimbulkan persoalan sama ada dia masih berguna atau tidak kepada Mano Polking. Ini kerana menurut pemilik akaun All Things Thai Football, bekas pemain Bangkok Glass itu seakan tidak serik melakukan terjahan sedemikian walaupun sudah mencecah usia 33 tahun.
Ini menunjukkan Sanrawat kelihatan tidak matang dan gagal membuat keputusan tepat pada masa yang penting. Justeru, tidak terkejut sekiranya Polking memilih untuk tidak memanggilnya untuk tugasan skuad Gajah Perang yang seterusnya.
Walaupun digantung satu perlawanan, itu tidak bermakna masalah Sanrawat akan berakhir. Ini kerana jawatankuasa disiplin AFF boleh saja melanjutkan hukuman penggantungan selepas meneliti laporan pengadil berkenaan perlawanan hari itu.
Sekiranya Sanrawat digantung melebihi lima perlawanan, dia akan terlepas peluang mewakili Thailand di pentas separuh akhir dan final Piala AFF 2022.