Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BATC) melibatkan pertembungan antara pasukan Malaysia menentang Korea berlangsung sengit dalam usaha merebut tempat ke pentas akhir.
Sungguhpun begitu, pasukan negara dilihat tidak berdepan sebarang masalah apabila semua wakil menjalankan tugas dengan baik dalam memastikan impian Malaysia menjadi kenyataan.
Perlawanan bermula dengan penuh cemerlang apabil wakil perseorangan negara, Lee Zii Jia tampil dengan persembahan yang cukup bertenaga.
Sungguhpun tumpas pada set pertama dengan keputusan 13-21, pemain ranking ketujuh dunia ini sekali lagi membuktikan kemampuannya untuk membenam cabaran Jeon Hyeok Jin dengan 21-13 dan 21-15.
Seterusnya, aksi beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berlangsung dengan penuh dramatik menerusi aksi tiga set sebelum menang ke atas Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan dengan keputusan 21-14, 20-22 dan 21-19.
Ng Tze Yong mengesahkan kemaraan Malaysia ke pentas akhir dengan persembahan yang cukup memukau untuk menang 19-21, 21-16 dan 21-12 ke atas Kim Joo Wan.
Malaysia mara ke pentas akhir dalam usaha untuk memperbaiki rekod terdahulu apabila sekadar menjadi naib johan pada edisi yang lepas.