Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Saingan Sepak Takraw League (STL) kini sudah sampai ke penghujung menerusi penganjuran STL Challenge Cup 2023. Dan menariknya, saingan STL ini turut mendapat sokongan tiga bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.
Tiga bintang tersebut ialah Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Farizal Marlias. Trio JDT ini hadir dalam perlawanan Johor Tigris menentang Terengganu Turtles yang diadakan di Studio Iskandar Malaysia Johor pada Selasa lepas.
Ramai penonton terutama penyokong Johor teruja dengan kehadiran bintang-bintang Harimau Selatan itu. Menariknya, Syafiq dan Safawi sudah dua kali hadir menonton aksi STL.
Bekas penyerang Terengganu FC itu turut mendedahkan pernah bergiat aktif dalam sukan sepak takraw semasa remaja dan mengenali tekong Terengganu Turtles, Zulkifli Abdul Razak.
“Dulu saya main takraw semasa umur 15 tahun. Saya main sebagai killer (perejam). Main dengan Sobey (Zulkifli Abdul Razak) saya selalu berlatih dengan dia. Ini kali kedua saya datang turun STL,” katanya kepada bila ditemubual Azlan Mubin untuk Astro Arena.
Sebaik video temubual itu dimuatnaik di Facebook STL, ramai peminat teruja dengan komen Safawi. Ini secara tidak langsung mendedahkan rahsia bagaimana beliau menghasilkan gol-gol cantik termasuk gol menentang Kepulauan Solomon untuk Harimau Malaya pada Jun lalu.
Gol tersebut dilihat layak untuk dicalonkan untuk Anugerah Puskas FIFA yang mengiktiraf gol tercantik yang dijaringkan pemain bola sepak profesional.