Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memaklumkan bahawa pihak mereka sudah mengatur perancangan untuk mengetengahkan ‘ubi muda’ bagi mengisi slot yang telah ditinggalkan oleh pemain muda berbakat besar iaitu Goh Jin Wei.
Menurut satu penjelasan oleh jurulatih perseorangan wanita negara iaitu Indra Wijaya, beliau menjelaskan bahawa ia pastinya menjadi tempoh yang sulit buat kem badminton kebangsaan untuk mencari pengganti pemain perseorangan wanita yang menjadi taruhan negara sejak sekian lama dalam tempoh yang amat singkat ini.
Namun begitu, beliau masih percaya dengan barisan pemain muda yang sedia ada mampu untuk menggalas tugas dengan baik sungguhpun kehilangan tersebut pastinya dirasai.
Tambah beliau, pengumuman keputusan Jin Wei untuk menggantung raket itu menyebabkan barisan kejurulatihan perlu merangka strategi untuk meletakkan calon yang sesuai dan tidak boleh terburu-buru dalam tindakan ini kerana ia melibatkan pentas yang besar.
Katanya, sungguhpun proses untuk menghasilkan prospek muda berbakat bukanlah satu perkara yang senang terutamanya seperti Jin Wei.
Walaupun begitu, usaha tersebut tidaklah mustahil untuk dijayakan sekiranya semua pihak memainkan peranan yang signifikan untuk terus menggilap anak tempatan yang berpotensi tinggi dalam acara tersebut.
‘Saya agak terkejut dan sedih dengan keputusan Jin Wei untuk bersara namun memahami kepayahan dan kesakitan ditanggung terutama terpaksa menanggung kecederaan,’-Jelasnya kepada Arena Metro.